Ke hadapan Pesiden UMNO, merangkap Perdana Menteri sebuah negara yang
dibarisi oleh majoritinya adalah orang Melayu iaitu Dato’ Seri Najib
Razak. Sebagai seorang presiden parti Melayu, dato' seri harus lebih
peka dalam isu ini.
Saya tertarik dengan ucapan DS Najib, setiap
kali Dato’ Seri membicarakan mengenai sejarah Melayu, khususnya sejarah
Kesultanan Melaka.
Ucapan pertama DS Najib yang membicarakan
topik kejatuhan Kesultanan Melaka di tangan Portugis adalah pada tarikh
15 Ogos 2011, dalam majlis FELDA di mana DS Najib mengaitkan kekalahan
Melaka itu berpunca daripada penggunaan senjata tradisional seperti
tombak, lembing, dan keris berbanding dengan pihak Portugis yang canggih
senjatanya.
Pada tahun 2014 yang lalu, saya mendapati bahawa DS
Najib mengulangi cerita yang sama dalam ucapan Formula 6K UMNO. Saya
menyaksikannya melalui siaran berita jam 7 pagi di saluran RTM TV1, pada
tarikh 23 Jun.
Kemudian, DS Najib mengatakannya sekali lagi
dalam ucapan perasmian di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 6
April 2016 berkata, kejayaan Portugis menakluk Melaka kerana faktor
senjata teknologi yang dimiliki ketika itu.
“Pahlawan Melaka telah dikalahkan mereka kerana hanya bersenjatakan keris dan tombak."
Maka, dengan penuh rasa rendah hati, saya berasa terpanggil untuk
membetulkan beberapa kesalahan fakta yang saya kira tidak diketahui oleh
DS Najib dan juga sebahagian besar rakyat Malaysia.
Untuk
pengetahuan DS Najib, sesungguhnya cerita jatuhnya Melaka di tangan
Portugis kerana faktor penggunaan senjata tradisional, adalah satu kisah
dongeng semata-mata yang harus dihapuskan dalam pemikiran rakyat
Malaysia buat selama-lamanya.
Kesultanan Melaka bukanlah
calang-calang kerajaan, malah merupakan satu kuasa yang hebat atau
“regional power”. Kemegahan pelabuhan Melaka telah membuatkan seorang
pegawai Portugis pernah berkata, iaitu Tom Pires ketika menyebut
mengenai Melaka.
“Whoever is lord in Malacca has his hands on the throat of Venice.”
Fikirkan kembali, Melaka ialah sebuah tamadun yang berada di
tengah-tengah laluan perdagangan dunia dan pada zaman kemuncak,
dicatatkan bahawa terdapat 84 bahasa yang dituturkan di pelabuhannya.
Simon Elegant dalam Far Eastern Econmic Review, IO Jun, 1999:45, telah menegaskan tentang Melaka (Terjemahan):
“Lima kurun dahulu, Melaka dikunjungi 2,000 kapal sehari iaitu sesibuk
pelabuhan Singapura moden kini, yang menjadikannya satu daripada tiga
pelabuhan yang tersibuk di dunia … Di situ terdapat orang-orang Gujerat,
Tamil, Bengali daripada India berniaga dengan orang Melayu, Cina dan
Arab secara harmonis; bandar raya dengan 100,000 penghuni, 84 bahasa
dituturkan di pasar. Sultan yang memerintah, telah memastikan
keselamatan Selat Melaka daripada lanun, dan barangan dapat disimpan
dalam ratusan gudang dengan selamat. Jika ada sebarang pertelingkahan
undang-undang yang berwibawa dilaksanakan ke atas orang tempatan dan
asing seadilnya.”
Masakan Kesultanan Melaka yang metropolitan ini
tidak langsung mengenali senjata api, sedangkan pada zaman yang sama,
Kepulauan Jepun yang sedang berada dalam kancah perang saudara ketika
era Nobunaga sudah pun mempunyai senjata api. Hall, John Whitney, ketika
menulis di dalam The Cambridge History of Japan, Vol. 4: Early Modern
Japan menceritakan mengenai divisyen senjata api yang dipunyai oleh
Nobunaga dalam kempen Nobunaga menyatukan seluruh Jepun.
Lalu
mari kita mulakan perbicaraan kita dengan membicarakan mengenai
kejatuhan Melaka itu dulu, lalu bolehlah selepas itu kita memahami
bagaimana budaya senjata api orang Melayu yang sebenarnya sudah sinonim
dengan orang Melayu pada abad-abad seterusnya.
John Crawfurd
memetik catatan De Burros dalam bukunya, A Descriptive Dictionary of the
Indian Islands and Adjacent Countries, bahawa ketika Portugis menawan
Melaka dahulu, mereka berjaya merampas antara 3000 hingga 8000 senjata
api daripada Melaka, dan De Burros sendiri mengatakan bahawa Portugis
sendiri tidak mampu untuk menghasilkan senjata api sebanyak itu. Bahkan
catatan De Burrous menjelaskan lagi kepada kita bahawa Portugis
menjumpai sebuah meriam Melayu Melaka yang jauh lebih besar daripada
meriam yang dipunyai oleh Portugis dan meriam itu telah dihantar ke
India.
Catatan yang lain pula, seperti yang dinukilkan oleh
Godinho Eredia dalam buku Asia Portugueza, karya Manuel de Faria Y Souza
dalam E. Koek, Portuguese History of Malacca, sewaktu kedatangan
Portugis di Melaka, jumlah meriam yang dipunyai kerajaan tersebut adalah
sangat banyak. Tiga ribu pucuk meriam besar telah dijumpai dalam kota
Melaka, 5000 pucuk lagi telah sempat dibawa lari oleh tentera Melaka
apabila kota itu tumbang.
Albuquerque menyatakan bahawa terdapat
2000 pucuk meriam yang diperbuat daripada tembaga dan yang lain
diperbuat daripada besi di Melaka. Faria y Souza mengatakan bahawa
sebahagian besar daripada 8000 pucuk senjata api atau meriam yang
dipunyai kerajaan Melaka adalah berasal dari Pahang. Ini bermakna Pahang
merupakan sebuah negeri penghasil senjata api yang berkualiti dan
banyak pada zaman itu.
Menurut Eredia lagi, semua meriam-meriam
itu dihasilkan dengan amat baik dan tidak dapat ditandingi walaupun
dengan meriam buatan Portugis. Daripada catatan Eredia ini, dapat
disimpulkan bahawa teknologi senjata api yang dimiliki oleh bangsa
Melayu Melaka pada waktu tersebut adalah sama tarafnya dengan teknologi
persenjataan orang Eropah, malahan mungkin lebih baik.
Seorang
berbangsa Itali yang terlibat di dalam penyerangan terhadap Melaka pada
tahun 1511 menyatakan bahawa terdapatnya penggunaan pelbagai jenis
senjata api berat yang telah menyebabkan kehilangan nyawa yang agak
ramai di pihak portugis. Menurut beliau, walaupun akhirnya tentera
Melayu Melaka kalah, namun mereka digambarkan mempunyai semangat
keperwiraan yang tinggi, sangat terlatih dalam ilmu peperangan dan
mempunyai simpanan senjata yang bermutu serta pelbagai.
Thomas
John Newbold, seorang pegawai British di Melaka pernah mencatatkan di
dalam Political and Statistical Account of the British Settlements in
The Straits Of Malacca, Volume 2 bahawa kilang-kilang yang menghasilkan
senjata api seperti meriam-meriam milik bangsa Melayu sudah lama
bertapak bukan sahaja di Semenanjung Tanah Melayu, bahkan di sekitar
Kepulauan Melayu. Terengganu menjadi hub penghasilan senjata api di
Semenanjung, manakala Gerisik merupakan hub untuk Pulau Jawa, dan hub
untuk Sumatera pula ialah Minangkabau.
Bahkan Newbold turut
mengulas mengenai pemandangan biasa yang dilihatnya ketika berada di
Tanah Melayu pada abad ke-18 yang dipercayai Newbold sudah lama budaya
itu itu bertapak di Tanah Melayu. Katanya, tidaklah sesuatu yang
menghairankan andai dapat melihat pendekar Melayu yang lengkap bertanjak
dan berbusana Melayu bersama keris dan senjata api Melayu seperti
Istingar.
Bukan setakat itu sahaja, bukti aktiviti pembuatan
senjata api di Pahang telah direkodkan oleh W. Linehan didalam kertas
kerjanya yang berjudul Some Discoveries on the Tembeling. Di
tebing-tebing Sungai Tembeling yang terletak di Pahang, Linehan telah
menjumpai acuan-acuan purba yang digunakan untuk membuat meriam yang
dianggarkan seawal kurun ke 13 ATAU 14, iaitu lebih awal daripada
kejatuhan Melaka di tangan Portugis.
Seorang pengkaji sejarah
iaitu Nicholas Tarling di dalam bukunya The Cambridge History of
Southeast Asia pernah membandingkan senjata api Melayu dengan senjata
api buatan Jerman yang merupakan senjata api terbaik pada abad ke-15,
bahkan diceritakan mengenai kehebatan senjata api Melayu yang dikatakan
tidak mempunyai tandingannya, walaupun senjata api Portugis itu sendiri.
Turut dicatatkan dalam buku itu mengenai bagaimana meriam-meriam yang
disusun di setiap penjuru kota Melaka telah banyak membedal nyawa askar
Portugis ketika mereka mula mendarat di bumi Melayu ini.
Kita
lihat pula tulisan R. J. Wilkinson, “The Capture of Malacca, A.D. 1511”.
Beliau menyebut mengenai beberapa perkataan sepert “Malay gun-fire” dan
“heavy fire” merujuk kepada bala askar Melaka ketika itu ketika
menceritakan mengenai kejatuhan Melaka yang boleh dijadikan dalil bahawa
orang Melayu kita ketika itu sudah memiliki senjata api.
Diceritakan bahawa ketika askar Portugis cuba memasuki muara Sungai
Melaka yang cetek dan berlumpur itu, mereka telah dihujani oleh divisyen
askar Melaka yang menggunakan senjata api dan menghujani askar Portugis
dengan senjata api
Akhir sekali, hayatilah bait-bait Syair
Perang Siak yang ditulis menceritakan mengenai perang melibatkan Sultan
Siak, Raja Ismail dengan Belanda sekitar tahun 1760-1761. Meski syair
ini agak lewat jika dibandingkan dengan peristiwa kejatuhan Melaka,
tetapi syair ini mempunyai dalil bahawa sesungguhnya budaya senjata api
dan orang Melayu itu tidak dapat dipisahkan.
Berani Wilanda jangan dikata
Kapal dan kici menembak semata
Bunyi sorak gempita
Meriam dan pemuras berbunyi sekata
Kapal dan kici menembak semata
Bunyi sorak gempita
Meriam dan pemuras berbunyi sekata
Perkataan “meriam” dan “pemuras” yang terakam dan diabadikan dalam
syair ini menunjukkan bahawa senjata-senjata api memang sudah digunakan
dalam pertahanan masyarakat Melayu.
Akhir kata daripada saya,
saya memohon agar DS Najib memperhalusi ucapan DS Najib sebelum
berbicara lagi mengenai topik kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun
1511, kerana sesungguhnya topik ini berkait rapat dengan jati diri
bangsa Melayu. DS Najib adalah orang kenamaan dan pastinya mempunyai
pengaruh yang sangat besar; saya khuatir jikalau kenyataan DS Najib yang
lari daripada hakikat sejarah itu dipegang pula sebagai azimat
kebenaran oleh kebanyakan rakyat Malaysia.
Saya daripada
organisasi The Patriots sekadar menjalankan tugas dalam menyedarkan
masyarakat Malaysia mengenai sejarah sebenar yang seakan-akan
dilindungkan daripada pengetahuan mereka. Andai kata apa yang saya
nukilkan ini mengandungi jarum yang secara tak sengaja telah mengguris
hati pembaca, sepuluh jari saya susunkan untuk memohon maaf. Saya juga
manusia biasa yang tidak lepas daripada melakukan kesilapan.
Link untuk bacaan lanjut kejatuhan Melaka: https://www.facebook.com/thepatriots2020/posts/475024329358264:0
-HE-